Dua pemuda dari Bagan Serai, Perak iaitu Mohamad Al Bukhari Ellia, 27, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, berjaya menamatkan perjalanan luar biasa sejauh 8,000 kilometer ke Tanah Suci selepas 113 hari berjalan kaki.
Kisah mereka semakin mendapat perhatian apabila tiba di Madinah dan berpeluang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang ketika itu sedang beriktikaf di Masjid Nabawi.
Dua Pemuda Malaysia Tiba di Madinah Selepas 113 Hari Berjalan Kaki
Menerusi hantaran di laman Facebook, Ahmad Zahid menyatakan rasa kagum terhadap ketabahan mereka dalam merealisasikan niat suci menunaikan ibadah haji. Beliau turut mengingatkan bahawa usaha mereka wajar dijadikan inspirasi dalam mendekatkan diri kepada Allah.
“Ketika sedang beriktikaf di Masjid Nabawi, saya dipertemukan dengan dua orang sahabat, saudara Mohamad Al-Bukhari Ellia dan saudara Mohamad Azizul Abdullah yang berkongsi kisah luar biasa mereka berjalan kaki dari tanah air kita menuju ke Makkah dalam misi menunaikan ibadah Haji 2025.
“Melangkahkan kaki sejauh ribuan kilometer selama beberapa bulan dari Masjid Jamek Changkat Lobak, Bagan Serai menzahirkan ketabahan dan membuktikan keberanian mereka di dalam merealisasikan niat suci untuk mencari cinta Ilahi dan nabi SAW.
“Perjalanan mereka yang sanggup berjalan ribuan kilometer demi meraih reda Ilahi seharusnya menjadi inspirasi. Sejauh mana pula usaha kita dalam mendekatkan diri mencari kasihnya Rabbi? Tepuk dada tanyalah hati,” kongsinya.
Dalam perjalanan yang penuh cabaran ini, kedua-dua pemuda tersebut menghadapi pelbagai dugaan, namun tetap cekal meneruskan misi mereka. Melalui perkongsian di media sosial, mereka meluahkan rasa syukur atas kejayaan menjejakkan kaki ke Madinah, selain berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan.
Kredit: Facebook Zahid Hamidi