Seramai 13 individu dipanggil oleh pihak polis bagi membantu siasatan susulan kes yang melibatkan Ustaz Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew atas dakwaan gangguan seksual yang dikenakan terhadap Mondy Tatto.
Laporan Polis Telah Dibuat
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, difahamkan wanita yang bernama Mondy telah membuat laporan polis atas dakwaan gangguan seksual kepada pihak polis lima hari sebelum Ebit Lew membuat laporan polis untuk membela dirinya. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan pihaknya kini sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Dia kemudian membuat satu lagi laporan penafian yang disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Setakat ini polis sudah memanggil 13 saksi berhubung kedua-dua kes itu”, jelasnya.
Telefon Bimbit Mondy Dirampas Untuk Siasatan Lanjut
Tambah Mohd Shuhaily lagi, telefon bimbit kepunyaan Mondy Tatto turut dirampas bagi tujuan siasatan dan ia juga merupakan prosedur yang biasa dilakukan oleh pihak polis.
“Kita ambil telefon dia untuk siasat. Memang ada peruntukan undang-undang bagi siasatan pengisian di dalamnya sama dengan apa yang diberitahu, masa kejadian, dan lain-lain lagi”, ulasnya.
Media sebelum ini melaporkan pihak polis telah memulakan siasatan terhadap Ebit Lew berhubung dakwaan laporan polis yang dibuat Mondy. Polis juga turut merakam keterangan penyanyi rap, Caprice dan Mondy Tattoo berhubung laporan yang dibuat Ebit Lew pada Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar dilaporkan berkata, rakaman percakapan diambil di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi siasatan lanjut.
Kredit: Harian Metro