Selepas 16 tahun penantian untuk mendapatkan zuriat, seorang lelaki yang bergelar bapa iaitu Fadi Khaled Al-Baba telah diuji dengan hebat apabila bayi kembar empatnya menjadi korban akibat kekejaman tentera Zionis dalam insiden pengeboman di Gaza. Fadi juga turut kehilangan isterinya iaitu Wafaa Abdul-Khaliq Al-Sweirki pada beberapa hari yang lalu atas sebab yang sama.

Baru Menyambut Kelahiran Bayi Kembar Empat Pada 7 September Lalu

Berdasarkan sumber yang dipetik dari portal Watanserb, pasangan ini baru sahaja menyambut kelahiran bayi kembar empat mereka pada 7 September yang lalu. Keempat-empat bayi tersebut diberi nama sebagai Khaled, Abdul-Khaliq, Mahmoud, dan Maha. Namun kesemua bayi ini terkorban bersama ibunya Wafaa apabila kediaman mereka di kejiranan Sheikh Radwan di Gaza menjadi sasaran bom Israel.

Bertahun Tunggu Untuk Dapatkan Anak

Menurut sumber lagi, salah seorang saudara kepada Fadi iaitu Yafa Abu Aker memaklumkan kepada pihak media tempatan bahawa Fadi dan Wafaa dikurniakan empat cahaya mata kembar selepas bertahun-tahun lamanya menunggu dengan penuh kesabaran.

“Dia (Fadi) tidak bercakap tentang apa-apa selain anak-anaknya. Dia tidur dan bangun di sebelah mereka”, katanya.

Walaupun kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata, Fadi tetap tabah mengebumikan jenazah keempat-empat bayi serta isterinya meskipun serangan udara Israel di kejiranan mereka masih berterusan.

Sehingga kini angka kematian di Gaza direkodkan melebihi 4,000 orang.

Kredit: Watanserb

[fbcomments]