Anggota Rejimen Sempadan (RS) iaitu Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd. Halim, yang dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu semasa menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei dekat Limbang kini telah ditemui dalam keadaan selamat selepas 19 hari kehilangannya.
Anggota RS Ditemukan Selamat
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Muhammad Syafiq Hilmi ditemukan pada pukul 11.29 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas 17 hari operasi pencarian dilancarkan.
Muhammad Syafiq Hilmi, yang merupakan anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu, ditemui dalam keadaan selamat tetapi mengalami kelaparan dan dehidrasi yang teruk.
“Syafiq telah berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau menemukan lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.
“Beliau ditemukan dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi. Beliau kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi sebelum mendapatkan pemeriksaan lanjut,”katanya.
TDM Berterima Kasih Kepada Semua Pihak Terlibat
Pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menghubungi keluarga Muhammad Syafiq Hilmi untuk memaklumkan berita penemuannya dan mengatur penerbangan mereka ke Sarawak dalam masa terdekat.
Ekoran insiden ini, TDM telah menubuhkan sebuah Lembaga Siasatan untuk menyelidik punca kejadian serta memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.
Dengan penemuan anggota yang berasal dari Baling, Kedah ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah ditamatkan.
TDM juga merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi tersebut.
“Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini khususnya kepada Kerajaan Sarawak, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), individu serta semua yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga Syafiq berjaya ditemui selamat.
“TDM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang operasi SAR ini dijalankan.
“Kerjasama erat antara TDM dan ABDB dalam operasi ini telah membuktikan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan operasi ini sehingga beliau berjaya ditemui dengan selamat,” ujarnya.
Kredit: FB Tentera Darat Malaysia