fbpx

Gara-gara kecuaian doktor bedah ketika melakukan pembedahan, seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas kedua-dua kakinya dipotong pada lima tahun lalu.

Memfailkan Saman Terhadap Hospital Berkenaan

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Berita Harian, difahamkan mangsa yang bernama Isman Ibrahim, 41, telah memfailkan saman terhadap hospital berkenaan di Mahkamah Tinggi kerana menyebabkannya kehilangan kedua-dua kaki, lima tahun lalu.

“Saya masuk hospital sebab apendiks tetapi sebab doktor cuai, kaki saya hilang. Prosedur pembedahan tidak berjalan dengan baik apabila doktor menebuk dan mengikat saluran darah utama sehingga menyebabkan kedua-dua kaki menjadi hitam atau gangren.

“Hospital itu kemudian memindahkan saya ke hospital swasta lain. Pemeriksaan lanjut menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding kes saman itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim hari ini.

Isman turut mendedahkan bahawa pemotongan kedua-dua kakinya itu dibuat hingga paras paha dan perlu menjalani pembedahan pintasan saluran darah.

“Semasa semua ini terjadi, isteri saya mengandung anak keempat. Hati siapa tidak sedih apabila melihat diri sudah tidak seperti dulu. Selama 10 hari terpaksa sorokkan nasib yang menimpa saya daripada tiga anak lain sebelum mereka menangis melihat keadaan terbaharu saya,” katanya.

Tuntut Saman Sebanyak RM55 Juta

Akibat kedua-dua kakinya dipotong, Isman meluahkan beliau menderita dengan sakit saraf teruk setiap dua hari.

“Tidur saya tidak lagi lena sejak lima tahun lalu. Setiap dua hari bermula jam 2 pagi saya akan mengalami kesakitan serta ada bahagian badan terganggu dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ubat. Saya nekad bawa kes ini ke mahkamah untuk menunjukkan dan membongkar isu kecuaian pihak hospital. Saya pasti banyak kes didiamkan dan berharap mereka yang senasib tampil ke depan,” ujarnya.

Sementara itu, peguam bela Isman iaitu Firhat Muhd Fikri Isman memaklumkan bahawa prosiding terbabit sepatutnya untuk perbicaraan, namun pihaknya akan memfailkan semula tuntutan saman seperti dipersetujui anak guam.

“Tuntutan saman awal adalah RM55 juta dan pemfailan semula bagi memastikan kebajikan anak guam terjamin termasuk mendapatkan kos sebenar bagi kaki palsu.

“Kita mahu anak guam menjalani kehidupan seperti biasa. Pemfailan semula tuntutan akan dibuat dalam tempoh sebulan ini,” jelasnya.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]