fbpx

Seorang lelaki berjaya ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam satu kemalangan langgar lari yang berlaku di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Kuala Kangsar, Perak pada Jumaat semalam.

Pemandu Cuai Telah Meragut 2 Nyawa Remaja Sekolah

Akibat nahas langgar lari dari pemandu yang cuai, kejadian tersebut telah meragut nyawa dua nyawa iaitu Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, yang maut di lokasi kejadian.

Difahamkan kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar menghala ke Ipoh telah memasuki simpang sebelah kanan menghala ke Taman Desa Salak secara mengejut. Tindakan cuai pemandu itu menyebabkan kenderaannya berlanggar dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Menerusi maklumat awal dikongsikan oleh orang awam, kenderaan terlibat itu melarikan diri dari lokasi sejurus selepas kemalangan berlaku.

Suspek Berjaya Ditahan Polis

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput iaitu Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin memaklumkan bahawa suspek lelaki berusia 50-an itu berjaya ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak di sebuah kebun pada pukul 1.20 petang semalam.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya mendapati negatif dan beliau merupakan seorang kontraktor.

“Sampel darah suspek juga diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi siasatan lanjut. Kita turut merampas kenderaan yang digunakan suspek sewaktu kejadian,” katanya.

Tambah Mohd Khaizam lagi, permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan ‘polytrauma with suspected neck injury/ cervical fracture’,” ujar beliau.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]