Mungkin kisah ini kedengaran agak pelik bagi sesetengah orang tapi tidak bagi Tan Guan Neo atau lebih mesra disapa Nyonya Popo apabila membuktikan perbezaan pandangan agama bukan penghalang untuknya membesarkan darah dagingnya sendiri.
Nenek Buddha Cucu Islam
Nyonya Popo yang beragama Buddha telah menjaga cucunya beragama Islam sedari usia cucunya 4 bulan dan kini sudah 23 tahun.
Bagi nenek yang berusia 75 tahun ini, tidak ada apa yang perlu dirisaukan berlainan agama. Yang penting setiap agama perlulah saling menghormati.
Agama dan kepercayaan yang berbeza bukan penghalang untuk kita hidup harmoni, paling penting kena saling menerima kerana tuhan sudah arahkan kita berbuat baik sesama manusia tidak kira apa jua agama.
Nyonya Popo mempunyai lima anak perempuan berusia antara 43 dan 54 tahun yang tiga daripadanya iaitu Faridah Nurul Ain, 54, Nur Hasleena Lee, 52, dan Fatin Nasuha Lee, 43, menganut agama Islam selain 11 daripada 15 cucunya juga beragama Islam.
Tidak mengabaikan pengajian agama
Mengakui bukan mudah membesarkan cucu untuk pastikan dia mendapat pendidikan agama yang sempurna apa ntah lagi bila berlainan agama.
Semasa Fahira Nabila bersekolah, saya sendiri memandu kereta untuk menghantarnya ke sekolah agama dan mengaji selain memastikan dia tunaikan solat, berpuasa dan khatam al-Quran.
Jelas beliau lagi, ramai je yang cuba mengganggu keharmonian mereka tetapi dia sedikit pun tidak tergugat.
Ramai yang mengganggu tetapi saya tidak takut, kerana bapa saudara Nabi Muhammad SAW, Abu Talib pun bukan Islam tapi jaga baginda dengan penuh kasih sayang. Jadi apa salahnya saya jaga darah daging saya sendiri.
Beliau juga pernah membasuh rumah dengan air tanah dan tidak membela anjing sejak menjaga cucunya itu.
Jangan mudah terpedaya dengan fahaman negatif
Fahira Nabilah yang merupakan graduan Diploma Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin berkata generasi muda perlu mengekalkan kemakmuran dengan menghargai keamanan negara selain tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat terutama di media sosial.
Di media sosial sering terdapat perkara yang cuba untuk mencetuskan provokasi antara kaum. Jadi golongan muda perlu berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan provasi itu kerana hakikatnya masyarakat kita walaupun berbeza kaum dan agama, tetap boleh hidup dengan aman dan damai.
Misalnya, saya dan Popo (Tan) berbeza fahaman, namun kami saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Justeru, jadikan lah kisah mereka berdua ini sebagai contoh dan tauladan bagi kita semua yang hidup dalam negara yang mempunyai pelbagai agama dan bangsa.