Tiga remaja lelaki terpaksa berhadapan dengan detik cemas apabila mereka mendakwa diri mereka dilarikan dan diculik oleh sekumpulan lelaki di sebuah pasar raya yang terletak di Skudai, sebelum mereka dipukul dan dirakam gambar bogel pada kelmarin.

3 Mangsa Dibawa Lari Oleh 10 Lelaki

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara iaitu Balveer Singh Mahindar Singh memaklumkan bahawa, pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa pada jam 6.45 pagi semalam berhubung kejadian.

“Mangsa mendakwa didatangi 10 lelaki termasuk seorang dikenali dan dilarikan dengan tiga kereta ke sebuah lokasi yang tidak dapat dipastikan.

“Suspek memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar itu sekiranya kejadian itu terbongkar.

“Suspek kemudiannya melarikan diri bersama-sama dengan barangan peribadi milik mangsa dan meninggalkan mangsa di lokasi yang sama,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, mangsa turut tercedera iaitu lebam di bahagian muka dan tangan, namun berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Mangsa kemudiannya hadir ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kejadian.

Polis Berjaya Menahan Suspek

Susulan daripada itu, satu tangkapan telah dilakukan dan pihak polis berjaya menahan empat lelaki warga tempatan termasuk tiga juvana berusia antara 15 hingga 20 tahun, pada Isnin.

“Turut dirampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini, polis turut menemui semula barangan milik mangsa.

“Keempat-empat suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Katanya, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

“Usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan,” maklum Balveer Singh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini agar menyalurkan kepada pegawai penyiasat di talian 013-6062618.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]