Anggota polis yang sedang melakukan rondaan dilaporkan terserempak dengan lima sekeluarga sedang mandi di tandas awam lebuhraya KESAS dan bersiap-siap untuk bermalam di situ.
Unit peronda berkenaan kemudian terus menghubungi seorang aktivis kebajikan yang dikenali sebagai Uncle Kentang untuk membantu keluarga terbabit.
Tiada tempat tinggal & susu anak sudah habis
Menurut Uncle Kentang, beliau menerima panggilan pada jam 11 malam mengenai kes sepasang suami isteri bersama 3 orang anaknya itu.
Saya terus pergi ke situ untuk memahami situasi dan mendapati mereka merupakan seorang lelaki Cina Muslim (mualaf) bersama isterinya warga Indonesia. Mereka membawa tiga orang anak, yang paling bongsu berumur 1 tahun. Mereka tiada tempat tinggal, susu anak pun sudah habis.
Beliau telah menguruskan keluarga itu untuk tinggal sementara di sebuah hotel murah di Puchong dan turut membantu membeli susu tepung untuk anak mereka sebelum menghantar keluarga itu ke hotel berkenaan.
Tidur di tandas awam & dobi layan diri

Difahamkan akibat tiada tempat tinggal, pasangan suami isteri bersama tiga orang anak mereka itu, sebelum ini sering tidur di tandas awam dan dobi layan diri.
Katanya lagi, anggota polis yang meronda telah menemui keluarga itu di tempat yang sama minggu lalu, si ayah enggan bercakap dan disyaki telah diusir dari kediaman mereka.
Menurut salah seorang sukarelawan yang menguruskan keluarga itu, sebelum ini pasangan suami isteri itu bekerja dengan perniagaan penghantaran dan pengebumian jenazah. Namun disebabkan oleh penurunan mendadak tugasan diterima, mereka tidak menerima gaji.
Di usir dari kediaman bilik sewa
Oleh kerana tiada simpanan dan sumber pendapatan, mereka telah diusir dari kediamannya iaitu sebuah bilik yang disewa.

Lelaki itu bekerja di Cheras, dia asalnya tinggal di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama. Selepas tiada tempat tinggal, dia tidak mahu susahkan sanak saudara, jadi dia merayau ke sana sini bersama isteri dan anak-anak. Dia tidak berdaya dan menangis ketika memberitahu saya perkara itu.
Duit yang ada sudah habis membeli makanan anak-anak. Pasangan itu sudah tak makan sekurang-kurangnya sehari sebelum terserempak dengan polis.
Apa yang lebih mengejutkan lagi, bila lapar lelaki itu sanggup turun ke sungai untuk memancing ikan, sebelum membakarnya bagi mengisi perut.