Seorang wanita berusia 26 tahun maut selepas kereta Bezza yang dipandunya digilis lori dalam kemalangan yang membabitkan tujuh kenderaan, di jalan bertingkat Lido di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa petang.
Meninggal Dunia Di Tempat Kejadian
Menurut laporan yang dilihat dari Mstar, mangsa iaitu Nicolette Hannah George yang berasal dari Kampung Babah, Penampang itu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira jam 6 petang. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tujuh kenderaan yang terlibat.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori melanggar sebuah kenderaan di hadapannya hingga menyebabkan kendereaan yang paling belakang tersepit di bawah lori. Akibat kejadian itu, pemandu kereta Bezza tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian”, jelasnya.
Ambil Masa 2 Jam Untuk Keluarkan Mangsa
Difahamkan lagi, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan adalah jenis Perodua Bezza, Myvi, Toyota Vios, Proton Saga dan Iriz. Pihak polis juga masih belum menerima laporan daripada mangsa lain yang terbabit sama ada mereka tercedera ataupun tidak.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987”, jelas Mohd Zaidi lagi.
Beliau juga memaklumkan bahawa pasukan bomba mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum berjaya dikeluarkan.
Kredit: Mstar, Harian Metro