Seorang remaja perempuan yang dikenali sebagai Nadia Fasha Qistina, 19, dilaporkan melecur 70 peratus di muka dan badan akibat disimbah asid tanpa motif oleh seorang penunggang p-hailing.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada 8 November lalu jam 5 petang, mangsa yang mesra dipanggil sebagai Nadia dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal sebelum dihampiri seorang penunggang p-hailing yang bertindak menyimbah cecair asid ke arahnya.
![]()
Perbuatan Tersebut Bagaikan Sudah Dirancang
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, bapa kepada mangsa iaitu Azman Shah Mohammad, 43, amat mengharapkan keadilan buat anaknya itu yang sudah hampir dua bulan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) dan menjalani lapan kali pembedahan bagi memulihkan tisu kulit serta menyelamat matanya.
Menurutnya, anaknya melecur teruk di bahagian tangan, muka, dan kaki dan kini masih dirawat di hospital berkenaan sudah menjalani lapan kali pembedahan yang membabitkan kos keseluruhan lebih RM30,000. Walaupun beliau sudah membuat laporan polis mengenai kejadian dengan awal, namun sehingga kini kes masih dalam siasatan.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki itu memakai topi keledar berpenutup penuh, sarung tangan dan membawa beg p-hailing menunggu anak saya di restoran berhampiran klinik. Apabila lihat anak saya keluar, dia terus mengekorinya. Tapi kejadian simbah asid itu berlaku dekat kawasan pokok besar dan tiada CCTV. Perbuatannya seperti sudah dirancang dan dia seolah mahir dengan jalan di situ. Saya tidak tahu punca anak saya diperlakukan demikian. Dia baru enam hari bekerja, malah saya dan isteri juga tidak ada masalah perniagaan atau berhutang dengan sesiapa,” katanya.
![]()
Polis Rakam Keterangan 12 Individu
Terbaharu, pihak polis telah merakam keterangan dari 12 individu bagi membantu siasatan mengenai kejadian yang berlaku di kawasan Denai Alam, Shah Alam, Selangor.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam iaitu Superintendan Ramsay Embol, beliau memaklumkan bahawa siasatan kes tersebut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek.
“Setakat ini seramai 12 individu dirakam percakapan. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.
Kredit: Harian Metro