Sejak kebelakangan ini, isu tentang pemandu menghalang ambulans di jalan raya kian menjadi-jadi sejurus telah menaikkan rasa geram orang ramai.
Terbaharu, seorang pemandu kereta jenis Toyota Vios QCJ 2629 berwarna merah juga dilihat telah menghalang ambulans di atas jalan raya dan enggan memberi laluan walaupun siren sudah dibunyikan dengan kuat.
![]()
Pemandu Disaman Akibat Halang Ambulans
Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu iaitu Superintendan Batholomew Umpit, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah mengesan sebuah video tular yang menunjukkan sebuah kenderaan tidak memberi laluan kepada ambulans dalam kejadian di Tanjung Kidurong pada Selasa, jam 4.42 petang.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu kemudiannya mengesan pemandu yang terlibat dan mengeluarkan saman terhadapnya di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 di mana kesalahan tidak memberi laluan kepada ambulans bersiren bergerak terus.
![]()
Ada Masalah Pendengaran
Hasil siasatan mendapati pemandu yang merupakan lelaki warga emas berusia 74 tahun itu mempunyai masalah pendengaran dan difahamkan ketika kejadian, alat pendengaran yang dipakainya tidak berfungsi dengan baik.
Susulan kejadian itu, polis menasihati pengguna jalan raya agar memberi laluan kepada kenderaan seperti ambulans, polis dan bomba apabila siren amaran diaktifkan.
Kredit: FB PDRM Bintulu