Baru-baru ini, seorang bekas banduan dikenali sebagai Abah Hayat mencetuskan perhatian ramai di media sosial apabila akaun TikTok miliknya ditemui selepas dia dibebaskan dari penjara pada 3 Oktober lalu.

Abah Hayat, atau nama sebenarnya Khairul Anuar, yang pernah terbabit dalam kes pembunuhan kejam 23 tahun lalu mendapat kecaman hebat kerana bio akaunnya seolah-olah tidak menunjukkan rasa bersalah, malah menyebut tentang jenayahnya dengan frasa “kerat 8.”

Bekas Banduan Tak Sensitif Dengan Kisah Silam Yang Pernah Dilakukan

Tindakan tersebut telah menimbulkan kemarahan netizen, yang rata-ratanya kecewa melihat bekas banduan itu kelihatan bangga dengan perbuatannya. Seorang pengguna X, Jalal Misai, turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan menyatakan bahawa Khairul Anuar tidak mengambil kira perasaan keluarga mangsa. Dia menambah, jika Abah Hayat memulakan hidup baharu dengan lebih senyap, mungkin dia dapat mengelakkan kritikan daripada orang ramai.

Lebih ramai pengguna media sosial turut marah dengan bio TikTok yang dianggap provokatif, lengkap dengan emoji ‘on fire’, yang seolah-olah membangkitkan kemarahan ahli keluarga mangsa dan mereka yang mengikuti kes ini. Ramai yang beranggapan tindakan Khairul Anuar bercanggah dengan niatnya untuk bertaubat.

Dalam temubual bersama Harian Metro, Khairul Anuar menjelaskan bahawa tempoh penjara yang panjang telah memberinya peluang untuk mendalami ilmu agama dan dia menyesali kesalahannya. Katanya, dia hanya ingin menjalani kehidupan yang lebih baik pada usia tua ini.

Sebagai rekod, Khairul Anuar pernah dijatuhi hukuman mati pada tahun 2008 setelah didapati bersalah membunuh seorang tukang besi dengan mengerat tubuh mangsa kepada lapan bahagian.

Bagaimanapun, hukuman itu kemudian ditukar kepada penjara seumur hidup selepas mendapat pengampunan Sultan Kedah pada Mei 2018. Pada Februari 2024, hukuman penjara hayat tersebut disemak semula dan digantikan dengan penjara selama 35 tahun.

Kredit: Harian Metro, X Jalalmisai

[fbcomments]