Seorang guru wanita yang baru-baru ini mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan melakukan persetubuhan haram telah membuat laporan polis selepas mendapati rakaman video aksi tidak senonoh yang dipercayai melibatkan dirinya tersebar di media sosial.

Guru Buat Laporan Polis Selepas Video Tidak Senonoh Tersebar

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

“Polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penyebaran kandungan lucah. Bagaimanapun, usaha untuk mengesan video tersebut masih berjalan memandangkan ia dipercayai telah dipadam dari peranti yang terlibat,” katanya ringkas kepada media.

Kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, wanita berusia 31 tahun itu yang merupakan seorang guru sekolah menengah di Melaka, bersama seorang juruelektrik yang dikenali sebagai ‘Abang Wiring’ atau nama sebenarnya Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, turut mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas tuduhan cubaan melakukan persetubuhan haram.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 setiap seorang, atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda, di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Menurut fakta kes, perbuatan tersebut dilakukan pada 28 Februari lalu kira-kira jam 9 malam di sebuah kediaman di Taman Bukit Emas, Sungai Petai, Alor Gajah. Pertuduhan dikemukakan oleh Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Melaka, Atras Mohamad Zin dan dibantu oleh pendakwa syarie Radzwan Abdullah.

Kredit: MalaysiaGazette

 

[fbcomments]