Seorang penyampai radio stesen tempatan menjadi perhatian warganet selepas didakwa mengeluarkan kenyataan yang dianggap memperlekehkan wanita bergelar suri rumah dalam satu siaran radio baru-baru ini.

Penyampai Radio Didakwa Perlekeh Suri Rumah, Chiwan Suria FM Tampil Mohon Maaf

Perkara itu mula tular selepas seorang individu meluahkan rasa kurang senang di platform Threads selepas mendengar segmen yang memaparkan perbualan antara penyampai terbabit dan seorang pemanggil wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai “suri rumah berjaya”.

Menurut perkongsian tersebut, penyampai radio berkenaan dikatakan bertanya dengan nada yang dianggap sinis, “Apa yang awak rasa berjaya sangat tu jadi suri rumah?”, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Individu itu turut mempertikaikan kenyataan penyampai tersebut yang didakwa seolah-olah menyifatkan wanita bergelar suri rumah sebagai golongan yang tidak berpendidikan dan hanya bergantung kepada suami.

Susulan kecaman yang diterima, Chiwan Suria FM, yang juga penyampai dalam segmen berkenaan, tampil membuat penjelasan dan permohonan maaf menerusi satu hantaran di Threads.

Chiwan, atau nama sebenarnya Mohd Azwan Sabri, 39, menjelaskan bahawa perbualan bersama pemanggil itu hanyalah perbualan santai dan tiada sebarang niat untuk merendah-rendahkan golongan suri rumah.

“Saya minta maaf sekiranya percakapan saya disalah anggap. Bila caller sebut dia ‘suri rumah berjaya’, saya tanya balik apa yang buat dia rasa begitu dengan nada nak teruskan borak. Bukan niat nak perlekehkan pun,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pemanggil tersebut kemudiannya menjawab bahawa dia tidak mahu disamakan dengan pemanggil sebelum ini yang hanya menyatakan diri sebagai suri rumah, lalu menyambung bahawa bukan mudah untuk menjadi suri rumah yang berjaya.

Reaksi terhadap penjelasan Chiwan bagaimanapun bercampur baur. Ada yang menganggap kenyataan awalnya tetap tidak wajar, manakala sebahagian lagi berpandangan ia hanyalah salah faham dan isu tersebut telah diperbesarkan.

Kredit: Thready chiwan_chilok

 

 

 

[fbcomments]