Polis mengesahkan wujud unsur tidak bermoral dalam salah satu acara yang dijalankan sepanjang program motivasi rumah tangga anjuran eHati, khususnya dalam sesi dinamakan Queen’s Night yang berlangsung pada malam terakhir program tersebut.

Polis Sahkan Wujud Aktiviti Tidak Senonoh Dalam Sesi “Queen’s Night”

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati terdapat aksi bogel melibatkan empat individu yang terdiri daripada fasilitator serta peserta program berkenaan. Acara terbabit dipercayai berlaku ketika sesi yang turut dikenali sebagai “rebirth”.

“Memang wujud kegiatan tidak senonoh termasuk berbogel dalam sesi Queen’s Night yang berlangsung pada malam terakhir program itu,” ujarnya.

Program yang diadakan di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam dari 27 hingga 30 September 2023 itu mengenakan bayaran tinggi kepada peserta, iaitu RM6,000 untuk Pakej A dan RM9,000 bagi Pakej B. Difahamkan, pakej lebih mahal menawarkan penyertaan dalam sesi khas Queen’s Night.

Dalam operasi siasatan yang dijalankan, polis turut merampas beberapa bahan dan peralatan yang digunakan semasa program berlangsung, termasuk beberapa cecair dipercayai diminum oleh peserta ketika acara berlangsung.

Sehingga kini, seramai 30 daripada 50 peserta yang dikenal pasti telah tampil memberikan keterangan kepada pihak polis. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti kandungan sebenar bahan cecair tersebut, termasuk kemungkinan penglibatan penjawat awam dalam program berkenaan.

Selain itu, enam individu termasuk pengasas eHati dan pasangan masing-masing telah direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Kredit: Utusan Malaysia

[fbcomments]