Penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang tertanam di kawasan berhampiran landasan kereta api di Rompin, Negeri Sembilan, minggu lalu akhirnya terjawab apabila bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat jerutan menggunakan kabel.

Mayat Budak Lelaki Ditemui Tertanam di Rompin, Bedah Siasat Sahkan Mati Dicekik Kabel

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataannya pada Selasa memaklumkan bahawa mangsa yang dikenali sebagai M. Tishant, 6, disahkan meninggal dunia antara jam 9 hingga 11 pagi pada 23 Julai lalu berdasarkan hasil bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Rembau.

“Punca kematian adalah akibat tekanan pada leher menggunakan ikatan kabel,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta turut melibatkan siasatan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, polis menerima laporan kehilangan mangsa daripada bapanya yang berusia 36 tahun pada 24 Julai lalu. Lelaki itu mendakwa anaknya hilang berhampiran sebuah kedai kopi di kawasan Taman Bukit Indah, Johor Bahru. Namun, siasatan mendapati dia berkemungkinan terlibat dan telah ditahan sebagai suspek utama kes.

Polis turut merampas cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam mayat mangsa, sebelum lokasi penemuan dikenal pasti hasil maklumat yang diperoleh ketika soal siasat.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]