Tindakan berani seorang wanita membawa sembilan haiwan eksotik menggunakan bagasi untuk dibawa menaiki penerbangan ke luar negara gagal apabila dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam semalam.

Cubaan Wanita Seludup 9 Haiwan Eksotik Dalam Bagasi Gagal Di KLIA

Insiden itu terbongkar ketika pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menjalankan pemeriksaan rutin di Terminal 1 KLIA sekitar jam 9.10 malam sebelum menemui beberapa ekor haiwan liar tersorok di dalam bagasi milik wanita terbabit.

Difahamkan, wanita tempatan berusia 36 tahun itu yang berasal dari Negeri Sembilan dijadual menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH0198 ke Hyderabad, India kira-kira jam 9.30 malam pada hari yang sama.

Menurut AKPS, siasatan awal terhadap bagasi tersebut membawa kepada penemuan sembilan ekor haiwan eksotik yang disyaki terdiri daripada empat ekor siamang, seekor beruk serta empat ekor sugar glider.

Kesemua haiwan berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang dokumen sah atau kebenaran.

Wanita terbabit telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Balai Polis KLIA bagi membantu siasatan lanjut.

Kes ini kini disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 \[Akta 716] serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 \[Akta 686].

Kredit: Buletin TV3

 

[fbcomments]