Polis Sabah memaklumkan bahawa seramai 60 individu telah dirakam percakapan setakat ini bagi membantu siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah sekolah agama baru-baru ini.

60 Individu Dirakam Keterangan Kes Kematian Zara Qairina

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, individu yang telah dipanggil untuk memberi keterangan terdiri daripada pelajar, ibu bapa serta kakitangan sekolah, termasuk beberapa nama yang turut tular di media sosial seperti “Kak Wana”, “Kak Dedeng” dan “Tomboi”.

“Mereka yang disebut dalam media sosial itu memang telah dikenal pasti sebagai pelajar dan kenyataan mereka telah diambil sebagai sebahagian daripada proses siasatan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa siasatan masih diteruskan dan belum selesai sepenuhnya. Namun, kertas siasatan telahpun dihantar ke Bukit Aman untuk semakan dan penelitian selanjutnya sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita mahu pastikan setiap aspek disiasat secara menyeluruh. Buat masa ini, siasatan sedang dikemas kini dan semakan lanjut akan dibuat oleh pihak Bukit Aman,” jelasnya kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Khamis.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]