Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dilaporkan cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki dalam kejadian berhampiran Pasar Pudu pada tengah hari Khamis semalam.
![]()
Anggota URB Cedera Ditikam Ketika Rondaan, Suspek Disyaki Miliki 14 Rekod Jenayah Lampau
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 12 tengah hari ketika anggota terbabit dari Balai Polis Pudu sedang menjalankan tugasan rondaan rutin bagi tujuan pencegahan jenayah di kawasan tersebut.
Menurut sumber, insiden berlaku ketika anggota polis itu sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki, sebelum individu berusia 56 tahun itu tiba-tiba bertindak agresif dengan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan senjata tajam.
Selepas menikam, suspek dilaporkan melarikan diri dari lokasi namun berjaya ditahan tidak lama kemudian oleh pihak polis berhampiran kawasan kejadian.
![]()
Mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber juga memaklumkan bahawa polis berjaya merampas senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut, dipercayai sebilah pisau. Hasil semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 14 kes.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail ketika dihubungi memaklumkan bahawa satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat berhubung insiden tersebut.
Kredit: Harian Metro