Sepasang suami isteri dilaporkan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar tiang elektrik dalam satu insiden di Kilometer 13, Jalan Segamat–Kuantan berhampiran simpang Felda Pemanis pada petang Isnin.

Pasangan Suami Isteri Maut Nahas Ford Mustang Terbabas Rempuh Tiang Elektrik

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan isterinya, Nur Syamimi Rosli, 36, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialami.

Menurut pihak polis, pasangan tersebut dalam perjalanan dari Kuantan ke Segamat ketika kenderaan jenis Ford Mustang yang dinaiki dipercayai hilang kawalan akibat keadaan hujan lebat sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang elektrik.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati faktor cuaca kemungkinan besar menjadi punca nahas. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, kedua-dua mangsa merupakan pengusaha perniagaan emas dan makanan, iaitu pemilik kedai emas Mimiey D’Jewels serta LeyParking Cafe.

Salah seorang pekerja mereka turut berkongsi bahawa Nur Syamimi sempat membuat pemindahan gaji kepada kakitangan sebelum insiden berlaku. Menurutnya, arwah juga dilihat banyak memuat naik hantaran bernada sayu di media sosial kebelakangan ini, yang kini menjadi kenangan terakhir buat semua yang mengenalinya.

Rakan serta pengikut di media sosial membanjiri ruang komen dengan ucapan takziah dan doa, selain menyeru agar orang ramai menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat pasangan berkenaan.

Jenazah kedua-duanya telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Kredit: Berita Harian, TikTok leyparking.cafe02

 

 

[fbcomments]