Pelawak dan usahawan, Shuib menyentuh hati ramai apabila berkongsi momen penuh emosi sempena ulang tahun kelahiran anak bongsunya, Ayash Affan yang kini genap berusia empat tahun.
![]()
Shuib Kongsi Detik Lahirkan Ayash Affan, Luah Rasa Syukur Anak Kini Berusia Empat Tahun & Titip Doa
Menerusi satu hantaran di Instagram, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, mengenang kembali detik getir sewaktu Ayash dilahirkan secara pramatang pada 6 Ogos 2021.
Menurut Shuib, anak keempatnya itu tidak menunjukkan sebarang tanda pernafasan selama beberapa saat sebaik dilahirkan, sebelum akhirnya mula bernafas dengan bantuan pantas daripada pasukan perubatan.
“Dia lahir pada 6 Ogos 2021 pukul 4.29 petang. Dia bayi pramatang, semasa lahir dia tak bernafas hampir lapan saat. Allah Maha Hebat dan dengan bantuan Doktor bertugas dan izin Allah, dia bernafas buat pertama kalinya,” tulis Shuib dalam hantaran tersebut.
![]()
Shuib turut menitipkan doa agar Ayash membesar menjadi anak yang baik, sihat dan berakhlak mulia, selain menyentuh perasaan ramai apabila menyebut tentang Allahyarhamah isterinya, Siti Sarah, yang tidak sempat membesarkan anak bongsu mereka.
“Ibumu melihatmu dari jauh, melihat dengan penuh kasih dan sayang. Selamat hari lahir, Ayash Affan. Ibu (Arwah Siti Sarah), anak you dah empat tahun,” ujarnya di akhir kata.
![]()
Perkongsian tersebut segera meraih perhatian ramai pengikut dan rakan artis yang rata-rata turut meluahkan rasa sebak serta menitipkan ucapan hari lahir buat Ayash di ruangan komen.
Sebagai makluman, Ayash merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Shuib bersama penyanyi popular, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin. Arwah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021 akibat komplikasi jangkitan COVID-19 tiga hari selepas melahirkan Ayash.
Kredit: Istagram shuibsepahtu