Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa lebih 10 laporan polis telah dibuat susulan penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kematian seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir.

Lebih 10 Laporan Polis Dibuat KPM Bagi Tangani Penyebaran Maklumat Palsu Kes Zara Qairina

Langkah itu diambil setelah kandungan video dan tulisan berunsur fitnah tular di media sosial, dipercayai mampu mencetuskan kemarahan masyarakat terhadap pihak sekolah, termasuk guru dan pelajar yang dikaitkan secara langsung.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, laporan-laporan tersebut difailkan bukan sahaja oleh pihak kementerian di Putrajaya selepas rundingan dengan Bahagian Undang-Undang KPM, malah turut melibatkan guru sekolah dan ibu bapa kepada pelajar yang didedahkan identiti mereka tanpa bukti kukuh.

“Penyebaran cerita palsu bukan sahaja menjejaskan emosi individu yang terlibat, malah boleh membahayakan keselamatan mereka. KPM tidak akan berdiam diri apabila pelajar dan guru berdepan risiko akibat andaian serta dakwaan yang tidak berasas,” katanya.

Antara kandungan palsu yang tular termasuk dakwaan kononnya pelajar tersebut mengalami kecederaan akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh, seperti yang disebut dalam satu video oleh seorang individu wanita yang kini turut menjadi subjek laporan polis.

Menurut Fadhlina, ibu bapa kepada pelajar yang namanya turut dikaitkan dalam insiden itu telah tampil membuat laporan polis demi menjaga keselamatan anak-anak mereka. Beliau turut memberi amaran terhadap kesan penyebaran fitnah yang boleh mencetuskan ugutan atau serangan fizikal, khususnya kepada pihak yang belum dibuktikan bersalah.

“Bayangkan jika pelajar atau guru diserang secara fizikal atas tuduhan yang akhirnya terbukti tidak benar. Kesannya amat serius dan tidak boleh dipandang ringan,” jelasnya.

Beliau menambah, selepas beberapa laporan dibuat, terdapat individu yang dilihat telah memadam kandungan berkaitan dan menghentikan penyebaran maklumat palsu.

Dalam masa sama, Fadhlina menegaskan bahawa proses siasatan kes kematian Zara diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis, manakala KPM memberi kerjasama penuh termasuk pengurusan soal siasat yang melibatkan lebih 60 orang saksi daripada kalangan pelajar dan guru.

Tambah beliau, selain keluarga mangsa, warga sekolah yang terlibat turut terkesan dari segi kesihatan mental kerana terpaksa berhadapan dengan tohmahan dan tekanan berpanjangan di media sosial.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]