Keluarga kepada seorang pelajar Tingkatan Lima yang meninggal dunia selepas disyaki meminum racun di sebuah sekolah menengah di Klang menuntut siasatan telus bagi merungkai punca sebenar kejadian.
![]()
Keluarga Tuntut Siasatan Telus Kematian Pelajar Disyaki Minum Racun di Sekolah
Mangsa, G. Sarvina, 17, dilaporkan rebah di dalam kelas pada waktu rehat, 27 Mei lalu, dengan keadaan mulut berbuih. Kejadian tersebut disaksikan tiga rakan sekelas yang berada di lokasi ketika itu.
Laporan perubatan mengesahkan kematian berpunca daripada keracunan. Namun, keluarga mempersoalkan beberapa perkara yang disifatkan mencurigakan, antaranya kelewatan mendapatkan rawatan perubatan segera.
Menurut ibu bapa mangsa, pihak sekolah didakwa tidak menghantar Sarvina ke pusat rawatan dengan segera kerana mendakwa terikat dengan prosedur operasi standard (SOP). Bagaimanapun, SOP yang dimaksudkan gagal dijelaskan apabila diminta. Keluarga turut menimbulkan persoalan mengenai ketiadaan rawatan kecemasan sementara menunggu ketibaan ambulans.
![]()
“Kami dimaklumkan anak hanya mengalami sakit perut. Namun, sebaik tiba di sekolah, kami mendapati keadaan sebenar jauh lebih serius,” kata ibu mangsa.
Keluarga turut mempersoalkan bagaimana racun itu diperoleh, sama ada mangsa meminumnya secara sukarela atau dipaksa, serta kemungkinan wujud unsur kecuaian atau usaha menutup maklumat.
Difahamkan, Sarvina merupakan pelajar yang ceria dan rajin, serta tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum insiden berlaku.
![]()
Setakat ini, keluarga telah membuat dua laporan polis berhubung kejadian. Semalam, mereka bersama peguam hadir ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan penjelasan lanjut, namun dimaklumkan bahawa tiada maklumat dapat didedahkan buat masa ini kerana siasatan masih dijalankan.
Keluarga berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil, demi memastikan kebenaran dapat ditegakkan serta keadilan diberikan kepada semua pihak terlibat.
Kredit: Buletin TV3