Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, berada di bilik bedah siasat selama lapan jam bagi menyaksikan proses yang dijalankan empat pakar forensik terhadap jenazah pelajar berusia 13 tahun itu.

Peguam Sahkan Wujud Kecederaan Pada Jasad Zara

Menurut Shahlan, ini merupakan kali pertama beliau berada secara fizikal di bilik bedah siasat selepas sebelum ini hanya mengetahui proses tersebut melalui gambar atau laporan. Katanya, pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam dan masih segar dalam ingatan.

“Ini memang kali pertama saya berada di bilik bedah, selalunya lihat gambar sahaja. Kalau saya mahu terangkan satu persatu bagaimana proses bedah siasat itu, saya boleh terangkan sekarang sebab masih lagi segar (dalam ingatan) dan doktor ada sebut tadi, dia terkejut sebab selama ini, inilah peguam yang boleh tahan di dalam (bilik bedah siasat).

“Saya masih tahu keadaan arwah bagaimana, pisau apa yang digunakan, mangkuk apa yang digunakan, macam-macam. Pada awalnya gemuruh, lepas itu rasa kasihan sebab terpaksa gali balik dan buat bedah siasat bukan suatu perkara yang mudah, dan ketiga insaflah,” ceritanya.

Beliau memaklumkan, sepanjang berada di bilik tersebut, beliau tidak makan atau minum dan hanya keluar sebentar dua kali untuk mengambil udara segar.

Mengulas mengenai keadaan fizikal mangsa, Shahlan mengesahkan terdapat kecederaan seperti yang dilaporkan di media sosial, namun enggan mendedahkan butiran lanjut kerana ia masih dalam siasatan.

“Saya boleh sahkan memang ada kecederaan. Jumlah atau perincian saya tidak boleh dedahkan kerana ia maklumat sulit,” jelasnya.

Menurutnya lagi, proses bedah siasat berjalan lancar dan telus tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

Jenazah Zara Qairina kemudiannya dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, kira-kira jam 1.15 pagi.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]