Suasana pilu menyelubungi sebuah keluarga apabila seorang wanita rebah empat kali akibat tidak mampu menahan kesedihan selepas menerima khabar duka mengenai kemalangan maut membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Jalan Utama, Felda Chiku 1, di sini, pagi Isnin.

Ibu Pengsan Empat Kali Selepas Kehilangan Dua Anak dan Dua Cucu Dalam Kemalangan

Ibu mangsa, Shahima Hamid, 54, dilaporkan pengsan tiga kali di rumah dan sekali lagi di hospital selepas selesai proses pengecaman jenazah dua anaknya, Muhammad Faiz Nor Amran, 32, dan Nor Aina Imra, 21, serta dua cucunya, Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4.

Isteri Muhammad Faiz, Tuan Norsyuhada Mohd Zain, 23, yang memandu kereta tersebut, mengalami kecederaan parah di kepala dan dada akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas selepas menghadiri sebuah program di Sepang, Selangor pada Sabtu lalu. Ketika kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori treler.

Seorang rakan arwah yang dikenali sebagai Jebon Hisham Shahrul, menerusi hantaran di Facebook meluahkan rasa sedih atas kehilangan sahabatnya itu dan memohon orang ramai mendoakan kesembuhan isteri mangsa.

Jenazah keempat-empat mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kubang Bemban, Pasir Mas, pada 11.30 malam hari sama.

Kredit: BERNAMA

 

[fbcomments]