Seorang pelajar wanita warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung insiden melibatkan pelanggaran tiga motosikal dan serangan menggunakan senjata tajam terhadap orang awam berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang, Rabu lalu.

Wanita Warga Asing Mengamuk di Kajang, Dakwa Tertekan Hidup di Malaysia

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek berusia 24 tahun itu merupakan penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA). Difahamkan, rasa kecewa terhadap pengalaman sepanjang menuntut di Malaysia serta tekanan hidup yang dialaminya dipercayai menjadi punca wanita warga asing tersebut bertindak agresif sehingga mencederakan beberapa individu.

Menurut beliau, setakat ini, 11 saksi termasuk mangsa telah diambil keterangan bagi membantu siasatan. Dua mangsa yang dimasukkan ke hospital dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan, manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA). Tiada rekod menunjukkan dia mengambil ubat atau berada dalam keadaan kemurungan, namun terdapat tanda-tanda dia mengalami tekanan berkaitan isu peribadi,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.58 pagi apabila suspek memandu kenderaan secara cuai dan melanggar tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat. Dia kemudiannya keluar dari kereta sambil memegang pisau dan menyerang beberapa individu di kawasan tersebut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]