Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali, 32, kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhirnya berhubung dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella pada empat tahun lalu.

Rayuan Terakhir Ditolak, Siti Bainun Kekal Penjara 12 Tahun

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz sebulat suara memutuskan bahawa sabitan dan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini adalah wajar dikekalkan.

Hakim Azman dalam penghakimannya menjelaskan, penilaian terhadap kes menunjukkan tiada kesilapan fakta atau undang-undang yang dilakukan oleh Mahkamah Tinggi mahupun Mahkamah Sesyen.

“Keterangan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah. Oleh itu, sabitan terhadap kedua-dua pertuduhan adalah selamat untuk dikekalkan,” katanya.

Rayuan terakhir itu difailkan Siti Bainun pada 2 Mei lalu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh yang sama.

Mengikut keputusan Mahkamah Tinggi ketika itu, Siti Bainun dihukum penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama dan 12 tahun bagi pertuduhan kedua. Namun, kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan, menjadikan tempoh keseluruhan penjara adalah 12 tahun.

Mahkamah turut memerintahkan beliau menjalani 200 jam khidmat masyarakat selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]