Misteri kematian seorang pelajar kolej yang ditemui tergantung pada kipas siling di kediamannya di USJ 2/1 minggu lalu akhirnya terjawab apabila hasil bedah siasat mengesahkan mangsa sebenarnya mati dibunuh.
![]()
Polis Sahkan Pelajar Kolej di USJ Mati Dibunuh, Bukan Bunuh Diri
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan pakar patologi Hospital Serdang mendapati mangsa mengalami pendarahan di sekitar tulang hyoid akibat tekanan kuat di bahagian leher.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan kecederaan pada otot dan tulang berpunca daripada tindakan dicekik secara manual. Susulan itu, siasatan diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan individu yang terlibat.
![]()
Kejadian itu disedari selepas bapa mangsa menemui anak perempuannya yang berusia lingkungan 20-an tergantung di ruang tamu tingkat dua rumah berkenaan pada kira-kira jam 11.55 pagi, sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Dalam masa sama, polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian ini di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-278627100 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Zainol Aazizi Abu Bakar di 013-3227632.
![]()
Terdahulu, tular hantaran di media sosial mendakwa kejadian itu melibatkan rompakan serta kematian seorang kanak-kanak, namun polis mengesahkan dakwaan tersebut adalah tidak benar.
Kredit: Berita Harian