Lima remaja yang dijangka berdepan pertuduhan berhubung kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pada Rabu esok tidak boleh didedahkan identiti mereka kepada umum, termasuk oleh media serta pengguna media sosial.
SUHAKAM Tegas Identiti Remaja Terbabit Kes Buli Tidak Boleh Didendahkan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati undang-undang perlindungan kanak-kanak, khususnya yang termaktub di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Akta itu memperuntukkan bahawa nama, gambar, sekolah atau apa-apa maklumat yang boleh membawa kepada pengecaman kanak-kanak terbabit tidak boleh diterbitkan.
“Mereka berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk sokongan berasaskan trauma, wakil guaman, serta layanan yang adil.
“Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah, atau sebarang butiran yang boleh membawa kepada pengecaman mereka tidak boleh didedahkan kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan.
![]()
Menurut SUHAKAM, sebarang pelanggaran terhadap peruntukan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali. Mahkamah Kanak-Kanak juga adalah mahkamah tertutup seperti termaktub dalam Seksyen 12 Akta Kanak-Kanak, justeru hanya pihak berkepentingan dibenarkan berada di dalam prosiding.
Dalam masa sama, SUHAKAM menekankan bahawa langkah paling utama ketika ini adalah mengelakkan stigma berpanjangan terhadap kanak-kanak terbabit. Proses keadilan wajar diberi ruang untuk berjalan dengan tertib dan berpandukan prinsip hak kanak-kanak serta kedaulatan undang-undang.
Suruhanjaya itu turut mengingatkan bahawa gejala buli, sama ada berlaku di sekolah atau di platform digital, tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan. Oleh itu, syarikat pengendali media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok digesa lebih proaktif dengan mengemas kini dasar dalaman mereka agar kandungan yang mendedahkan identiti kanak-kanak segera dipadam.
Kredit: Harian Metro