Detik penuh pilu menyelubungi Hospital Tawau apabila barisan petugas kesihatan berdiri beratur memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Darna Tajudin, 41, sebelum prosedur pendermaan organ dilaksanakan.
![]()
Warga Hospital Tawau Beri Penghormatan Terakhir Kepada Darna Tajudin Sebelum Pendermaan Organ
Momen hiba itu dikongsikan oleh Den Tajudin, menerusi hantaran di TikTok yang memperlihatkan warga hospital menundukkan kepala sebagai tanda hormat sebelum pasukan perubatan memulakan operasi pendermaan organ. Tindakan itu sebagai penghargaan atas pengorbanan murni Darna yang bakal memberi sinar harapan baharu kepada insan lain.
Darna disahkan meninggal dunia pada 17 Ogos lalu, jam 8.37 pagi, selepas tujuh hari tidak sedarkan diri akibat kecederaan parah dalam kemalangan di Batu 9, Jalan Apas, Tawau pada 10 Ogos. Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, mangsa bersama beberapa rakan sedang berjoging sebelum dirempuh sebuah trak pikap dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
![]()
Adiknya, Sanni Tajudin, 34, berkata arwah pernah menyatakan hasrat untuk menjadi penderma organ ketika masih hidup, sekali gus memudahkan keluarga membuat keputusan apabila dimaklumkan tentang pemergiannya.
“Apabila dimaklumkan Darna disahkan meninggal dunia, keluarga sepakat membenarkan pihak hospital meneruskan prosedur pendermaan kornea matanya.
“Sebagai memenuhi keinginan arwah, kami sekeluarga sepakat mengizinkan pihak hospital melakukan pembedahan bagi tujuan itu,” katanya.
Kredit: TikTok den_tajudin