Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau dan MRSM Besut kini memulakan langkah baharu dalam menangani gejala buli apabila warden daripada kalangan bekas anggota tentera dilantik untuk memikul tanggungjawab tersebut.
![]()
Bekas Tentera Dilantik Warden MRSM, Usaha Baharu Bendung Isu Buli
Pelantikan itu dilaksanakan sebagai projek perintis selama enam bulan, menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau menjelaskan, keberkesanan pendekatan tersebut akan dinilai secara menyeluruh dengan kerjasama Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Sekiranya hasil kajian menunjukkan kesan positif, langkah ini akan diperluaskan ke semua 57 MRSM di seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
![]()
Sebelum ini, tugas warden banyak digalas oleh guru yang pada masa sama memikul tanggungjawab mengajar. Hal ini menimbulkan kebimbangan kerana beban kerja yang berlebihan boleh menjejaskan fokus pengajaran.
Bagi memastikan pelantikan berjalan lancar, MARA menekankan bahawa proses pemilihan pesara tentera itu dilakukan dengan saringan yang ketat.
![]()
Dr Asyraf turut menyatakan harapannya agar langkah ini mampu menghentikan budaya buli yang sudah lama menjejaskan sebahagian pelajar.
Sementara itu, rata-rata orang ramai di media sosial menyambut baik usaha tersebut dengan keyakinan bahawa disiplin pelajar akan lebih terjaga apabila bekas tentera diberi amanah menggalas tugas warden.
![]()
Kredit: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki