Misteri kematian seorang lelaki yang dijumpai tidak bernyawa berhampiran sebuah hotel di Jalan Horley awal pagi semalam mula terungkai selepas polis menahan seorang pemandu lori berusia 32 tahun.

Misteri Kematian Lelaki Berperwatakan Wanita Terungkai, Pemandu Lori Ditahan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan dilakukan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Turut dirampas, dua telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah pondok pengawal di Taman Tawas Idaman Square. Di sana, kami menemui semula dua kunci serta sebuah lori putih yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan belakang badan. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar jam 4.24 pagi menunjukkan mangsa dikejar sebuah lori putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek. Mangsa kemudiannya dilanggar kenderaan tersebut dan ditinggalkan di lokasi.

Mayat mangsa yang masih berpakaian lengkap ditemukan oleh seorang pekerja hotel kira-kira jam 6 pagi.

Polis kini sedang menyiasat motif kejadian dan telah memohon perintah reman terhadap pemandu lori terbabit. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kredit: Harian Metro

 

 

 

 

[fbcomments]