Tragedi dua beradik yang ditemukan lemas selepas kereta dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Linggi, Tanjung Agas, semalam membawa kepada penahanan ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan.

Ibu Bapa Mangsa Lemas Sungai Linggi Ditahan, Polis Bongkar Rekod Jenayah Lampau Bapa

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pasangan berusia 41 dan 46 tahun itu ditahan selepas didapati memberikan keterangan yang mencetuskan keraguan.

“Hasil semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 16 rekod jenayah lampau dengan empat daripadanya masih berstatus dikehendaki. Sementara itu, wanita terbabit tidak mempunyai sebarang rekod,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan, ujian air kencing terhadap kedua-duanya adalah negatif. Namun, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang digunakan mendedahkan ia merupakan kereta yang pernah dilaporkan hilang di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022.

Polis kini sedang memohon reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Seremban. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan juga masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Husairin Che Hussin di talian 012-9654927.

Terdahulu, insiden itu meragut nyawa dua beradik lelaki masing-masing berusia enam dan lapan tahun yang dipercayai terperangkap di dalam kereta ketika ia menggelongsor masuk ke sungai.

Difahamkan, bapa mangsa ketika itu keluar seketika untuk merokok manakala ibu mereka berada di dalam kereta dan berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]