Prosiding hari keempat inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini mendengar keterangan daripada seorang pegawai perubatan yang merawat mangsa sejurus tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Julai lalu.

Inkues Zara Qairina: Tiada Kesan Lebam Pada Tubuh Ketika Sampai di Hospital

Saksi, Dr Janefer Voo, 32, memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa beliau menerima mangsa pada jam 4.38 pagi, 16 Julai, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati Zara mengalami bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala, patah pada pergelangan tangan kiri, selain patah terbuka pada pergelangan kaki kiri serta patah tertutup pada pergelangan kaki kanan.

Trauma Alert di Jabatan Kecemasan HQE diaktifkan pada jam 4.42 pagi bagi mendapatkan bantuan segera daripada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi,” jelasnya.

Dr Voo menegaskan bahawa tiada sebarang tanda lebam atau kesan penderaan ditemui pada tubuh mangsa ketika dirawat. Bagaimanapun, berdasarkan penilaiannya, Zara dipercayai mengalami kecederaan otak trauma yang serius selain pendarahan dalaman akibat hentakan kuat.

“Tekanan darah mangsa yang sangat rendah ketika itu turut menguatkan syak berlaku kecederaan dalaman akibat impak tinggi,” katanya dalam keterangannya di hadapan Koroner.

Beliau turut menjelaskan bahawa hasil resusitasi dan pemeriksaan lanjut menunjukkan Zara mengalami pendarahan dalam otak, patah terbuka di pergelangan kaki serta tumit kiri, patah tertutup pada lengan kiri dan kaki kanan, patah pada tulang lumbar vertebrae 2, 3 dan 4, selain pembekuan darah pada tulang pelvis serta otot psoas kiri.

Dr Voo, yang merupakan pegawai perubatan pelatih dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditempatkan di HQE, diminta menandatangani kenyataannya selepas dibacakan di mahkamah.

Prosiding inkues akan bersambung pada tarikh ditetapkan bagi mendengar keterangan saksi lain.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]