Seorang bayi lelaki berusia dua bulan ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertindih badan ibunya ketika tidur di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua Kota Setia, Perak, pada 18 September lalu.

Bayi Dua Bulan Maut Ditindih Ibu Ketika Tidur

Ketua Polis Daerah Hilir Perak berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku pada waktu pagi apabila si ibu yang sedang berehat bersama anaknya di atas katil tanpa sedar telah menindih tubuh bayi berkenaan.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk pemeriksaan lanjut.

“Bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik HRPB mendapati kematian berpunca daripada paru-paru sembab serta pembengkakan pada otak akibat tekanan fizikal ketika tertindih,” katanya.

Wanita berusia 30-an itu yang merupakan warga Indonesia kini ditahan pihak polis untuk membantu siasatan.

Kes berkenaan pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001. Namun, selepas penelitian, kertas siasatan telah dikemukakan kepada pihak pendakwaan dan tertuduh bakal berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]