Pemilik sebuah kafe di Kampung Jawa yang tular kerana mempamerkan haiwan peliharaan seperti alpaka, kambing dan kucing di premisnya tampil menafikan dakwaan bahawa dia menzalimi haiwan tersebut.
Kafe di Melaka Diserbu, Pemilik Nafi Abaikan Haiwan dan Akui Kesilapan
Lelaki berusia 31 tahun yang juga warga Singapura itu menegaskan dirinya seorang pencinta haiwan dan sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan haiwan berkenaan. Menurutnya, dua ekor alpaka yang dimiliki dibeli dari Australia dengan harga sekitar RM20,000 seekor, masing-masing seekor jantan yang dipamerkan di kafe dan seekor betina yang ditempatkan di rumahnya.
Katanya, alpaka jantan yang dipamer turut menunjukkan tingkah laku unik seperti boleh menutup lampu dengan hidung serta memberi respon ketika dia bercakap melalui telefon. Justeru, beliau menolak tuduhan kononnya haiwan itu diabaikan.
“Kalau saya tidak sayang haiwan, mustahil saya sanggup membelanjakan jumlah besar untuk menjaganya. Namun, saya akui kesilapan apabila meletakkan haiwan di dalam premis makanan,” jelasnya.
Beliau berkata, kesemua haiwan akan segera dipindahkan ke lokasi lebih sesuai selain membersihkan kawasan restoran seperti yang diarahkan pihak berkuasa. Pada masa sama, dia akan memperkemas semula permohonan lesen bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan mengikut syarat undang-undang.
Terdahulu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjalankan serbuan selepas menerima aduan orang ramai berhubung keadaan seekor alpaka yang kelihatan murung selain beberapa haiwan lain didakwa tidak terurus. Hasil pemeriksaan, premis terbabit dikenakan dua kompaun bernilai RM10,250 dan diarahkan tutup selama tujuh hari bagi tujuan pembersihan.
Kredit: Sinar Harian