Pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak meluahkan rasa terkilan apabila masih belum menerima bayaran tertunggak berjumlah RM18,000 daripada sebuah stesen televisyen, meskipun bapanya, Azmi Deris, baru sahaja meninggal dunia akibat kanser usus pada Isnin lalu.

Amir Raja Lawak Masih Tidak Dapat Bayaran RM18,000 Meskipun Bapa Sudah Pergi

Menurut Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, jumlah itu amat penting buatnya sebelum ini untuk menampung kos rawatan arwah bapa yang menghidap kanser usus tahap empat. Bagaimanapun, tuntutan berkenaan masih belum diselesaikan hingga kini.

“Saya belum fikir tindakan lain, cuma harap bayaran itu dapat dilunaskan segera. Sebelum ini, saya benar-benar memerlukan duit untuk abah, termasuk membeli katil dan kelengkapan rawatan,” katanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu turut menzahirkan rasa syukur apabila pelbagai pihak tampil membantu, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, pimpinan tempatan serta orang ramai yang prihatin meringankan beban keluarganya.

Dalam masa sama, Amir berkongsi bahawa beliau sepatutnya menghadiri sidang media Muzikal Lawak Superstar di Kuala Lumpur pada Selasa, selain menerima tawaran berlakon filem bersama pengarah Prof. A. Razak Mohaideen.

“Insya-Allah, saya akan terus bekerja. Walaupun tinggal di Kelantan, saya sanggup berulang-alik ke Kuala Lumpur jika ada rezeki,” ujarnya.

Amir sempat menunaikan permintaan terakhir arwah bapanya untuk menikmati nasi kerabu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.52 malam di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian. Jenazah disolatkan di Masjid Desa Rahmat pada 9.15 pagi Selasa sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Kenali kira-kira jam 10.15 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan Amir terpaksa menjual salah satu asetnya, iaitu kereta Proton Juara, bagi mendapatkan wang segera selepas gagal memperoleh bayaran daripada stesen televisyen terbabit.

Kredi: Sinar Harian

[fbcomments]