Tiga lelaki termasuk dua beradik dijatuhi hukuman denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mengaku bersalah menyimpan bangkai seekor harimau belang betina tanpa permit khas pada minggu lalu.

Tiga Lelaki Didenda RM250,000 Kerana Simpan Bangkai Harimau Belang Tanpa Permit

Ketiga-tiga tertuduh, Md Shaheezam Md Salim, 49; Nazerin Tomiran, 47; dan adiknya, Mohamad Nazrol, 28, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan pada Selasa. Mereka didakwa menyimpan bangkai haiwan dilindungi itu di dalam bonet belakang sebuah Perodua Alza di sebuah stesen minyak Felda Tenggaroh, Mersing kira-kira jam 6.10 pagi, 16 September lalu.

Harimau belang Malaya atau Panthera Tigris Jacksoni merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan hanya boleh dimiliki dengan permit khas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hanum Abdul Hadi bersama Anongrakh Wechit, manakala ketiga-tiga tertuduh hadir tanpa peguam. Sebelum hukuman dijatuhkan, Shaheezam merayu hukuman diringankan kerana menghidap kanser hati tahap empat dan menanggung lima anak dengan pendapatan RM1,800 sebagai pemandu ladang.

Nazerin turut merayu dengan alasan menghidap penyakit buah pinggang serta menyara empat anak, manakala adiknya, Nazrol, yang juga berpenyakit sama baru mendirikan rumah tangga dan bekerja secara tidak tetap dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan sebagai jurukimpal.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan kesalahan itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan populasi harimau Malaya di Semenanjung kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor. Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM250,000 terhadap tertuduh, dengan alternatif penjara tujuh tahun jika gagal membayar.

Mahkamah turut memerintahkan bangkai harimau berkenaan dilupuskan, manakala kenderaan MPV, anak kunci serta empat telefon bimbit milik tertuduh dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Kredit: Sinar Harian

 

 

 

[fbcomments]