Kisah penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, 19, yang berstatus yatim piatu terus mendapat perhatian apabila Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil mengambilnya sebagai anak angkat.
![]()
Video di bawah:
Asyraf Wajdi Jadikan Penuntut Yatim Piatu UUM Sebagai Anak Angkat
Hasrat itu disampaikan sendiri oleh Asyraf Wajdi ketika berhubung dengan Putera melalui panggilan video yang dimuat naik di akaun Facebook beliau semalam. Dalam perbualan itu, Asyraf menawarkan agar Putera tidak berasa keseorangan, selain menjanjikan sokongan kewangan bulanan serta peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga angkatnya.
“Kalau cuti tak ada tempat nak pergi, datang saja ke rumah saya. Kalau Putera sudi jadi anak angkat saya, saya akan tambah elaun bulanan. Saya nak tengok Putera berjaya macam ramai anak angkat saya sebelum ini,” katanya sambil menitipkan nasihat agar Putera tidak pernah lupa mendoakan kedua-dua arwah ibu bapanya.
![]()
Menerusi hantaran sama, Asyraf memaklumkan MARA akan menyediakan pembiayaan sara hidup bulanan, bantuan awal serta komputer riba untuk kegunaan Putera sepanjang pengajian. Selain itu, sokongan turut disalurkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang berjanji membantu menampung kos yuran pengajian, manakala Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan bersama pegawai universiti turut memudahkan segala urusan pendaftaran pelajar tersebut.
Putera yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pemasaran di UUM menzahirkan rasa terharu dengan keprihatinan semua pihak.
![]()
“Saya berterima kasih kepada Dr Asyraf, pihak MARA dan semua yang membantu. Saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin, berusaha keras untuk capai keputusan cemerlang dan membanggakan emak ayah saya walaupun mereka sudah tiada,” ujarnya yang juga lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian, Pulau Pinang.
Kisah Putera tular baru-baru ini selepas laman rasmi Facebook UUM berkongsi pengalaman pilu pelajar itu hadir berseorangan ke kampus Sintok untuk mendaftar. Lebih menyayat hati, bapanya, Allahyarham Shahiran Pake Chi, 57, meninggal dunia dalam tidur bulan lalu hanya beberapa minggu sebelum anak tunggalnya itu menjejakkan kaki ke menara gading. Ibunya, Allahyarhamah Khatijah Mohd Rashid pula meninggal dunia pada 2019 ketika Putera masih di Tingkatan 1.
Kredit: Harian Metro