Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun kini bertarung nyawa selepas dipercayai menjadi mangsa serangan bapa saudaranya sendiri menggunakan tukul besi dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Kedai Jelawat baru-baru ini.
![]()
Kanak-Kanak Parah Dipukul Tukul, Suspek Ditemui Mati Di Pantai
Dalam insiden kira-kira jam 5 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dihantar ke Hospital Bachok untuk rawatan awal. Berikutan keadaannya yang kritikal, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul mangsa di rumahnya sendiri. Mangsa yang juga anak saudara kepada suspek kini dilaporkan berada dalam keadaan sangat kritikal.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul mangsa menggunakan tukul di rumahnya sendiri. Mangsa dipercayai anak saudara kepada suspek,” katanya.
Tambah beliau, beberapa jam selepas kejadian, pihak polis menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan jasad seorang lelaki di Pantai Melawi. Hasil semakan mendapati lelaki berusia 46 tahun itu merupakan individu yang dipercayai terbabit dalam serangan berkenaan.
“Suspek dijumpai tidak bernyawa dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok ru di pantai tersebut, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian. Kes kini disiasat bagi mengenal pasti motif sebenar serangan,” ujarnya.
![]()
Sementara itu, bapa kepada mangsa, Muhammad Badrul menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan bahawa anaknya berada dalam keadaan kritikal dan memohon doa daripada orang ramai agar urusan rawatan anaknya dipermudahkan.
Kredit: Sinar Plus, FB Muhammad Badrul