Tragedi kemalangan melibatkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Kajang, pada 27 September lalu terus meragut nyawa apabila seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia pada Ahad.
Mangsa terbaharu, Mohd Hafizi Anuar, 48, kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang.
![]()
Mangsa Kedua Kemalangan Plaza Tol Bukit Kajang Disahkan Meninggal Dunia
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, Mohd Hafizi pada awalnya dijadualkan untuk dipindahkan ke Hospital Putrajaya bagi rawatan lanjut, namun keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang. Beliau memaklumkan proses bedah siasat dijalankan di hospital sama sebelum jenazah diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.
Sebelum ini, kemalangan yang berlaku sekitar jam 10.50 pagi itu telah meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan. Insiden berkenaan berlaku ketika Mohd Hafizi bersama seorang rakan sekerja dari Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR dalam perjalanan pulang ke Shah Alam selepas selesai tugasan rasmi di Penjara Kajang.
![]()
Kemalangan tersebut melibatkan empat kenderaan iaitu Nissan X-Trail milik JKR Shah Alam yang dinaiki mangsa, sebuah Proton X70, sebuah Honda City serta sebuah lori tiga tan yang membawa muatan besi buruk. Ekoran perlanggaran itu, beberapa mangsa mengalami kecederaan serius manakala kenderaan terlibat dilaporkan mengalami kerosakan teruk.
Naazron berkata, pemandu lori berusia 42 tahun yang terlibat dalam nahas itu telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. Polis masih menunggu laporan penuh daripada agensi berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
Kredit: Sinar Harian