Penulis dan aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) menjelaskan punca sebenar ketiadaannya ketika ketibaan 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pada malam Selasa lalu.

Video di bawah:

https://www.instagram.com/reel/DPlv0qzD8El/?utm_source=ig_web_button_share_sheet

ZRA Jelaskan Punca Tidak Sertai Ketibaan Sukarelawan GSF Di KLIA, Akui Letih & Rindukan Keluarga

Ketika ditemu bual secara eksklusif oleh program Melodi, ZRA yang turut menyertai misi kemanusiaan ke Gaza itu mengakui beliau memilih untuk tidak menyertai rombongan yang disambut meriah oleh ribuan rakyat Malaysia kerana berada dalam keadaan terlalu letih selepas lebih sebulan berada di luar negara.

“Saya letih sebab dah 37 hari. Saya rindukan isteri saya sebab tak pernah travel selama ini. Kedua, anak perempuan saya tinggalkan di Greece kerana dia mengalami dehidrasi,” jelasnya.

Menurut ZRA, keadaan tersebut membuatkan beliau tidak bersedia untuk berdepan dengan orang ramai sewaktu ketibaan mereka di lapangan terbang. Beliau turut memohon bantuan beberapa rakan untuk keluar melalui laluan belakang bagi mengelakkan perhatian umum.

“Jadi, saya tak boleh berdepan dengan orang ramai ketika isteri dan anak dalam ingatan saya. Itu yang saya minta tolong daripada kawan-kawan untuk bawa saya keluar dari pintu belakang,” katanya lagi.

Selain faktor peribadi, ZRA juga menjelaskan bahawa keputusannya untuk tidak muncul bersama kumpulan itu adalah bagi memberi peluang kepada aktivis muda merasai sendiri sambutan luar biasa rakyat Malaysia terhadap wira-wira kemanusiaan tersebut.

“Saya fikir di usia 58 tahun, saya tinggalkan ruang itu kepada aktivis muda. Mereka yang sepatutnya menikmati supaya jadi lagi semangat,” ujarnya.

Difahamkan, ZRA pulang ke kediamannya secara senyap dengan bantuan beberapa rakan sebaik tiba di Malaysia, manakala 22 lagi aktivis disambut lebih 2,000 orang awam di KLIA Terminal 1.

Untuk rekod, ZRA merupakan antara peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel pada 2 Oktober lalu ketika dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Mereka kemudiannya dibebaskan dan selamat tiba di tanah air pada malam Selasa.

Kredit: Instagram Melodi

 

[fbcomments]