Suasana sayu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Masjid al-Maarif, Jeneri pada malam semalam apabila jenazah dua beranak, Sariya Che Hin, 51, dan anak perempuannya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, selamat dikebumikan dalam satu liang.

Kedua-dua mangsa yang dibunuh di rumah sewa keluarga mereka di Kampung Sekolah Juru, Seberang Perai itu dikebumikan dengan penuh linangan air mata dan doa daripada ahli keluarga serta penduduk setempat.

Anak Sulung Berjanji Akan Tegakkan Keadilan Buat Ibu dan Adik

Anak sulung mangsa, Mohd Noor Hafifi Hassan, 28, menzahirkan rasa sebak dan berjanji akan menegakkan keadilan buat ibu dan adiknya.

“Saya harap netizen jangan buat spekulasi atau tuduhan melulu. Kami masih bersedih dan perlukan ruang untuk tenangkan diri. Biar polis jalankan siasatan, kalau sesiapa ada bukti, boleh lapor ke balai polis tanpa sebar di media sosial,” katanya selepas pengebumian.

Menurut Hafifi, dia masih mengingati pesanan terakhir ibunya agar sentiasa berbuat baik dan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan.

“Ibu selalu pesan saya jadi anak yang baik, jangan buat jahat pada orang walau orang buat kita macam-macam. Pesan itu akan saya pegang sampai bila-bila,” katanya dalam nada sebak.

Hafifi yang bekerja sebagai jurutera di Perak turut berkongsi bahawa dia sepatutnya pulang ke kampung pada hari kejadian namun tidak menyangka menerima panggilan yang meragut seluruh ketenangan hidupnya.

“Saya memang nak balik semalam atau hari ini. Tapi bila saya dapat panggilan malam itu, saya tak percaya. Bila sampai tengok sendiri, polis dah ramai,” katanya.

“Kalau ada tangan-tangan yang cuba ‘drop’ kes ini, saya takkan biar ia berlaku. Saya akan ‘fight’ sampai habis. Ini saja yang saya mampu buat untuk balas jasa ibu dan adik saya,” tegasnya. Dalam masa sama, beliau turut menyeru masyarakat agar mengambil iktibar daripada tragedi ini dan menghargai hubungan kekeluargaan selagi masih ada.

Hafifi juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah ibunya dan adiknya hingga selesai.

Terdahulu, tragedi pembunuhan dua beranak di Juru mengejutkan negara apabila kedua-dua mangsa ditemukan tidak bernyawa dengan kesan serangan menggunakan pisau pemotong daging. Sementara itu, suami kepada Allahyarham Sariya yang merupakan seorang pengawal keselamatan telah direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut polis.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]