Seorang lelaki berjaya ditahan polis kurang daripada 24 jam selepas dipercayai menyerang seorang remaja perempuan berusia 18 tahun menggunakan parang dalam kejadian di Solok Tangga Batu, Tanjung Kling, petang Isnin lalu.
Remaja Perempuan Ditikam Ketika Membonceng Motosikal, Suspek Ditahan Polis
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa membonceng motosikal yang ditunggang oleh kakak iparnya dalam perjalanan pulang ke rumah.
Mangsa secara tiba-tiba merasa sakit di bahagian belakang sebelum meminta motosikal dihentikan di tepi jalan.
Ketika itu, kakak iparnya terlihat seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha LC V8 berwarna biru gelap, memakai jaket hitam dan topi keledar berwarna biru jenis MS, memecut meninggalkan lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek serta tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan mana-mana individu.
Difahamkan, mangsa yang kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka baru tiga minggu berpindah dari Tangkak, Johor ke Melaka untuk bekerja sebagai operator kilang. Bertindak atas laporan dibuat, polis melancarkan siasatan dan berjaya menahan suspek dalam masa kurang 24 jam selepas kejadian.
Lelaki berkenaan dijangka direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Kredit: Sinar Harian