Seorang pemuda dari Johor Bahru yang hanya mahu dikenali sebagai Joe, 36, tidak menyangka niatnya untuk mencari rezeki di luar negara berakhir dengan mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Sihanouk, Kemboja.
Lebih memilukan, dia mendakwa rakan baiknya sendiri sanggup ‘menjualnya’ kepada sindiket scammer dengan bayaran komisen sebanyak AS$2,000 (kira-kira RM8,400) bagi setiap mangsa.
![]()
Mangsa Dedah Diperdaya Rakan Sendiri, Dijual Kepada Sindiket Scammer Di Kemboja
Menurut Joe, segalanya bermula apabila dia menerima tawaran kerja daripada rakannya sebagai pembakar sate di Kemboja dengan gaji lumayan sekitar AS$1,500 sebulan (RM6,300). Menurutnya, tawaran itu kelihatan meyakinkan kerana dia sememangnya bekerja dalam bidang sama di Johor Bahru dan dijanjikan semua kos perjalanan termasuk tiket penerbangan serta wang saku RM2,000 ditanggung. Namun, sebaik tiba di Kemboja pada 5 April lalu, hidupnya berubah apabila dia diserahkan kepada kumpulan sindiket dan dipaksa bekerja sebagai scammer.
Joe menceritakan dia dibawa ke sebuah markas lengkap dengan asrama dan kemudahan teknologi, di mana dia terpaksa bekerja selama 14 jam sehari dengan menyamar sebagai pegawai polis atau wakil SKMM bagi memperdaya mangsa di Malaysia. Setiap pekerja diwajibkan mencapai sasaran antara RM50,000 hingga RM100,000 sebulan, dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka dipukul, diseksa menggunakan renjatan elektrik atau dikurung tanpa makanan.
![]()
“Kalau tidak capai target, kami akan diseksa. Mereka hanya beri sebotol air untuk sehari dan makanan yang dihidang selalunya tidak halal (babi),” katanya sambil menambah lebih 40 rakyat Malaysia turut menjadi mangsa bersama warga asing dari Rusia, Brazil dan beberapa negara Arab.
Selepas empat bulan melalui detik hitam itu, Joe dan empat lagi rakyat Malaysia akhirnya berjaya diselamatkan hasil usaha Wisma Putra dan Kementerian Luar dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim. Menurut Joe, peluang untuk melarikan diri hanya muncul apabila sindiket memaklumkan mereka akan dipindahkan ke sempadan Laos untuk dijadikan buruh paksa. Ketika itu, mereka sempat menghubungi pihak berkuasa bagi meminta pertolongan.
“Dalam tempoh itu saya cuma fikir sama ada akan mati atau sempat diselamatkan. Alhamdulillah, kami akhirnya berjaya pulang ke tanah air pada 16 Ogos lalu,” katanya yang masih trauma dengan kejadian berkenaan.
Kredit: Sinar Harian