Impian seorang pemilik rumah untuk mendapatkan penyewa yang bertanggungjawab bertukar menjadi kekecewaan besar apabila kediaman yang disewakan dalam keadaan bersih dan lengkap sebelum ini berubah menjadi seperti tapak pembuangan sampah.
@
Penyewa Enggan Keluar, Rumah Disewa Bertukar Seperti Tapak Pelupusan Sampah
Menerusi perkongsian video di TikTok, pemilik rumah terbabit meluahkan rasa terkejut sebaik meninjau keadaan dalam rumah tersebut yang dipenuhi dengan longgokan plastik, pakaian dan kotak hingga menutupi hampir keseluruhan ruang. Menurutnya, rumah berkenaan pada asalnya dilengkapi perabot bagi memberikan keselesaan kepada penyewa, namun kini hampir semuanya rosak dan tidak terurus.
Katanya, dia tergerak hati untuk membuat pemeriksaan selepas mendapati bil elektrik dan air naik mendadak. Namun, keadaan menjadi lebih rumit apabila penyewa terbabit enggan mengosongkan rumah walaupun telah diminta berbuat demikian sejak minggu lalu.
![]()
“Dia bagi alasan dirinya OKU dan tiada tempat tinggal. Bila kami minta keluar, dia ugut nak hubungi polis. Kami suruh dia call sebab ini rumah kami,” katanya.
Susulan insiden itu, pihak polis yang dihubungi telah memberi tempoh antara satu hingga dua minggu kepada penyewa untuk mengosongkan rumah, dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya dia masih berdegil. Pemilik rumah turut mendakwa sudah banyak berkompromi dengan penyewa berkenaan termasuk membenarkan bayaran sewa dibuat lewat, menanggung tunggakan bil utiliti serta hanya menerima deposit sebanyak RM1,500.
![]()
Kisah tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya mengecam tindakan tidak bertanggungjawab penyewa berkenaan, selain bersimpati dengan nasib pemilik rumah yang terpaksa menanggung kerugian dan kerosakan besar akibat kejadian itu.
Kredit: TikTok ftnramlie