Platform pengiktirafan serantau, ASEAN Records, terus mengorak langkah dengan lebih meluas apabila secara rasmi melancarkan Asia Records, sebuah institusi berprestij di peringkat benua yang diwujudkan bagi meraikan pencapaian luar biasa dalam bidang inovasi, keusahawanan, kebudayaan, pelancongan dan impak global di seluruh Asia.

ASEAN Records Lakar Langkah Berani, Umum Pelancaran Asia Records Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Majlis pelancaran bersejarah itu berlangsung semasa Gala Malam ASEAN Records 2025, bersempena Pengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025 dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju utama rantau ini di pentas antarabangsa.

Asia Records menjadi sorotan utama acara malam tersebut, menandakan peluasan pengiktirafan ASEAN Records daripada peringkat serantau ke skala benua Asia. Dengan piawaian profesional yang menitikberatkan ketelusan dan kredibiliti, Asia Records berhasrat menjadi platform rekod rasmi bertaraf antarabangsa yang mengiktiraf pencapaian individu, organisasi dan inovasi yang mencerminkan semangat kemajuan Asia.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, bersama Pengarah Urusan ASEAN dan Asia Records, Puan Gillian Ooi, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Encik Chua Choon Hwa, yang hadir bagi mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing.

Acara berprestij itu turut mencipta sejarah apabila 48 rekod baharu ASEAN diumumkan, di samping 8 cabaran rekod baharu dan 108 pemegang rekod sedia ada yang menerima pengiktirafan semula yang menjadikan keseluruhan 138 pemegang rekod ASEAN dengan kehadiran lebih 550 tetamu kehormat.

Sejak penubuhannya pada 14 November 2024, ASEAN Records kini telah mengiktiraf lebih daripada 200 rekod rasmi di seluruh Asia Tenggara, sekali gus membuktikan komitmennya dalam mengangkat pencapaian yang sahih dan boleh disahkan di peringkat global.

Majlis sama turut memperkenalkan dua platform rekod berasaskan pelancongan iaitu ASEAN Tourism Records dan Asia Tourism Records. ASEAN Tourism Records disahkan oleh ASEANTA (ASEAN Tourism Association) bagi mengiktiraf destinasi pelancongan, warisan budaya serta inisiatif mampan di rantau ini.

Sementara itu, Asia Tourism Records memperluas pengiktirafan tersebut ke peringkat benua dengan menonjolkan destinasi dan pengalaman pelancongan paling ikonik di Asia.

Kedua-dua platform ini mengukuhkan kedudukan ASEAN dan Asia sebagai hab pelancongan dan kebudayaan dunia yang berasaskan kelestarian serta pemeliharaan warisan budaya.

Majlis turut diserikan dengan Pameran Budaya Jalanan ASEAN (ASEAN Street Cultural Showcase)yang menampilkan persembahan serta pameran budaya dari 10 negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste sebagai bakal anggota ke-11. Pameran itu menggambarkan identiti dan simbol kebangsaan setiap negara serta semangat perpaduan serantau.

Selain itu, kempen Visit Malaysia 2026 turut diperkenalkan dengan pelancaran maskot rasmi iaitu Wira dan Manja, dua ekor beruang matahari Malaya yang menjadi simbol keramahan rakyat Malaysia serta komitmen negara terhadap pemuliharaan hidupan liar. Sebanyak 100 maskot (50 pasangan) turut tampil dalam acara tersebut bagi meraikan pelancongan mesra alam menjelang tahun 2026.

Malam bersejarah itu turut menyaksikan Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam menerima pengiktirafan rasmi ASEAN Records sebagai “Gabenor Negeri Pertama dan Satu-satunya di ASEAN yang Menerima Anugerah Kepimpinan Sukan Negara.”

Sementara itu, pasangan ahli silap mata antarabangsa dari Malaysia, Mark dan Pinky, turut mencipta rekod baharu dunia yang disahkan oleh Asia Records selepas berjaya melakukan pertukaran 30 kostum dalam masa satu minit, memukau tetamu dengan persembahan luar biasa di pentas Gala Malam ASEAN Records 2025.

Pelancaran Asia Records ini bukan sekadar mengangkat martabat pencapaian Asia, tetapi turut memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pengiktirafan serantau yang berwibawa di pentas dunia.

Untuk maklumat lanjut, layari www.aseanrecords.com.

[fbcomments]