Selepas setahun kehilangan anak sulung akibat kecuaian pihak taska, kehidupan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim dan isterinya kini diuji lagi apabila tiga bayi kembar perempuan mereka yang baru dilahirkan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Melaka.

Ibu Bapa Arwah Al Fateh Mohon Doa Untuk Kembar Tiga Pramatang

Menerusi hantaran di media sosial, Mohd Fikry memohon doa orang ramai agar ketiga-tiga anaknya berada dalam keadaan stabil dan dilindungi Allah SWT. Menurutnya, bayi-bayi berkenaan dilahirkan secara pramatang pada usia kandungan 31 minggu dan kini memerlukan pemantauan rapi oleh pakar berikutan risiko komplikasi kelahiran awal.

“Allahu Akbar…Allahu Akbar… Allahu Akbar.

“Saya dan isteri mohon kepada semua untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak triplet kami berdua yang kini masih berada dalam wad NICU/SCN di Hospital Melaka,” tulisnya.

Beliau turut berharap pihak hospital dapat menjalankan pemantauan dengan penuh teliti bagi mengelakkan sebarang kecuaian, selain memaklumkan bahawa ketiga-tiga anaknya dijangka terus berada di NICU sehingga usia kandungan mencukupi 35 minggu. Dalam nada reda, Mohd Fikry menzahirkan keyakinan bahawa setiap ujian yang dilalui pasti mempunyai hikmah yang terbaik buat keluarganya.

Pasangan suami isteri itu sebelum ini berkongsi berita gembira mengenai kelahiran bayi kembar tiga mereka menerusi rawatan kesuburan in-vitro (IVF) yang ditaja oleh Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) di bawah naungan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam temu bual bersama Kosmo!, Mohd Fikry mengakui kehadiran tiga cahaya mata perempuan itu sedikit sebanyak mengubat rindu terhadap arwah anak lelakinya, apatah lagi apabila ketiga-tiganya memiliki wajah yang hampir menyerupai Allahyarham.

Kredit: Facebook Mohd Fikry Amri, Kosmo!

 

[fbcomments]