Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun selepas disyaki membakar rumah keluarganya sendiri di Kampung Seberang Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, dalam kejadian awal pagi Khamis.
![]()
Lelaki Disyaki Bakar Rumah Keluarga Di Pengkalan Hulu, Ibu Melecur Dihantar Ke Hospital
Kebakaran yang berlaku sekitar jam 1.08 pagi itu memusnahkan kira-kira 65 peratus struktur kediaman terbabit. Menurut Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Superintendan Zulkepli Ibrahim, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perbuatan khianat suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.
Dalam insiden itu, ibu suspek mengalami kecederaan akibat melecur dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk menjalani pembedahan segera. Pasukan bomba dari Balai Bomba Pengkalan Hulu dengan bantuan Balai Bomba Baling berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 2.30 pagi.
![]()
Suspek kemudiannya diberkas oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pengkalan Hulu bersama anggota Unit MPV pada jam 3.25 pagi.
Hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine, dan dia kini direman selama empat hari sehingga 1 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kebakaran dengan sengaja.
Kredit: Harian Metro